LiTeRaRy : E-Novel - Puzzle Cinta Aisara 28


Bab 28
Ah, indahnya mimpi.
Ingin ku terus terlena...

PETANG itu sedikit redup, Puteri dan kekasihnya sudah berjanji untuk bertemu di tepi tasik Burley Griffin yang biru. Kilauan dari air tasik akibat dari pancaran matahari pada musim panas kali itu, kelihatan cantik seperti permata yang berkedipan. Tetapi wajah Puteri tetap sugul. Hatinya resah. Setiap kali mereka punya kesempatan bertemu dia terasa seperti sedang menyusahkan kekasihnya itu, kerana terpaksa terbang dari Malaysia ke bumi Canberra. Kadang-kadang dia tersenyum bila lelaki itu memberitahunya, bumi Australia itu adalah tempat cinta mereka bersemi menjadi satu dan tidak mungkin mereka akan berpisah selamanya. Kerana cinta yang sudah mereka lafazkan adalah abadi.
Daun mapel separuh kering yang gugur di kakinya tadi dikutip dan dipegang sambil duduk di atas bangku kayu. Mata Puteri memandang beberapa orang pasangan kekasih berbangsa ‘mat salleh’ yang sedang asyik memadu asmara. Dia tersenyum. Alangkah indahnya jika setiap hari dia boleh berada dalam dakapan kekasihnya. 
Semua itu tidak mungkin berlaku jika pertemuan mereka saja dilakukan secara curi-curi, tanpa pengetahuan ibunya. Ibu yang tidak pernah memahami kehendak hatinya, tidak pernah mahu menerima kekasihnya yang hanya dari kalangan pemuda biasa, yang datang dari kampung. Malahan jawatannya dalam bidang pekerjaan juga tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan keluarga mereka yang kaya-raya. Dia sudah letih merayu restu ibunya. Sudah malas juga meminta simpati. Biarlah buat sementara waktu dia dan kekasihnya begitu, berjumpa secara bersembunyi. Sementara menunggu waktu yang sesuai untuk mengikut kekasihnya itu pulang ke Malaysia. Fikiran Puteri terus melayang terbang kembali ke rumahnya.
“Kamu nak pergi mana dengan beg tu?” Soal Puan Sri Marina kehairanan. Matanya tajam memerhatikan beg pakaian yang diseret Puteri ke ruang tamu itu.
“Nak pergi Brisbane dengan kawan tiga hari,” beritahu Puteri malas.
“Kawan kamu yang mana? Kamu jangan nak mengada,” bantah Puan Sri Marina yang berniat menghalang pemergian anaknya itu.
Wajah Puan Sri Marina dipandang Puteri dengan penuh kebosanan. Dia sudah dewasa, terus-menerus dilayan seperti anak remaja yang baru kenal kehidupan. Telefon bimbit dari poket seluar jeansnya dikeluarkan. Tanpa mempedulikan amaran dari ibunya, dia membuat panggilan.
“Daddy... Mummy tak bagi Puteri pergi,” adunya manja. 
“Okey,” jawab Puteri akur.
Sekejap kemudian telefon bimbitnya bertukar tangan. Puan Sri Marina bercakap beberapa patah dengan suaminya kemudian mengembalikan telefon bimbit kepada Puteri.
Puteri melekapkan telefon bimbit itu ke telinganya semula.
Thanks daddy. I love you.” Panggilan di tamatkan dengan senyuman. Sebenarnya seminggu yang lalu dia sudah meminta kebenaran bercuti dari ayahnya. Suka dia melihat wajah begang ibunya yang gagal menghalang pemergiannya kali itu. Pasti hati ibunya membungkam menahan marah setelah gagal menghalang dia keluar hari itu. 
Itu hal setengah jam yang lalu. Sekarang dia sedang menanti keseorangan di situ. Wajahnya suram kerana sudah menunggu hampir setengah jam.
“Mana dia ni? Aku pergi sorang-sorang karang, marah pulak.” Rungut Puteri sambil mengerling jam di tangan.
Turun saja dari cab, berlari-lari lelaki itu membawa beg pack yang terlekat dibahunya. Lari mendapatkan Puteri yang sedang duduk di bangku kayu itu.
“Sayang...” sapanya sebaik tiba. Tercungap-cungap dia mengambil nafas.
Puteri diam menarik muka.
“Kenapa masam aje? Senyumlah,” tegur Alif terus mengambil tempat di sebelah Puteri. Bahu Puteri disentuh mesra.
Puteri memandangnya dengan perasaan tawar.
Resah hati Alif melihat Puteri merajuk begitu.
“Kenapa ni? Sebab abang lambat ke? Maaflah. Abang bukan sengaja, cab susah nak dapat tadi,” jelas Alif dengan alasan. Bukan salah dirinya terlewat tetapi sebaik keluar dari pintu utama lapangan terbang tadi dia terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan sebuah cab. Entah kenapa begitu ramai pengunjung yang berpusu-pusu di lapangan terbang. Dia tidak pasti. 
Puteri masih diam.
Perilakunya membuatkan Alif semakin resah. Jika tiada sesuatu yang bermain di fikiran Puteri, masakan dia begitu.
 “Sayang... beritahu abang. Kenapa ni?” pujuk Alif. Duduknya disengetkan sedikit. Jari-jemari Puteri disentuh mesra dan dibawa kedua tangan itu ke bibirnya, lalu dikucup belakang tangan itu dua kali sebelum meletakkan ke pipinya. 
“Sayang...?” Pujuknya lagi. 
Puteri medegus perlahan. Dia tahu Alif terlalu menyangi dirinya. Hatinya terseksa melihat susah payah Alif berusaha mengubah kehidupan dari seorang yang zero menjadi lebih baik. Punya perniagaan sendiri yang dikongsi bersama rakanya, biarpun kecil-kecilan dan Alif masih bekerja sebagai penjawat awam. Semua itu dilakukan demi dirinya.
Wajah Puteri terus muram. Demi menemuinya di situ Alif sudah mengorbankan lebih dari dua ribu ringgit untuk membeli tiket kapal terbang. Mujur saja Air Asia punya perkhidmatan tambang murah, bolehlah Alif menjimatkan perbelanjaan.
Puteri berfikir lagi, untuk melengkapkan kehidupan mereka kelak juga perlukan sejumlah wang yang besar, harus pula Alif banyak menyimpan. Bukan dia tidak mahu membantu tetapi sering kali ditolak. Alif tidak mahu mengambil kesempatan atas kekayaannya. Alif ingin berusaha sendiri untuk membahagiakan dirinya dan Alif bukan lelaki pengikis.
Jari-jemari Alif, Puteri silangkan bersama jari-jemarinya dan membawa tangan Alif ke pangkuannya. Mata Alif yang sering kelihatan seperti tersenyum itu ditatap seketika sebelum pandangan dialih ke tanah.
“Abang, sampai bila kita nak macam ni? Kadang-kadang Puteri rasa, abang macam terpaksa aje layan Puteri... sebab simpati,” luahnya pilu dengan wajah yang sayu.
Alif memandang Puteri dengan perasaan keliru. Dahinya sedikit berkerut.
“Abang, kalau susah menjadi pasangan Puteri. Janganlah paksa diri. Puteri faham.” Sambung Puteri lagi. Pahit benar dirasakan untuk melafazkan kata-kata itu tetapi dia sudah tidak sanggup melihat Alif terseksa mengharapkan hadir dirinya diwaktu-waktu memerlukan.
Alif memaniskan muka walau hati sedikit tersentuh.
“Sayang... mana ada simpati!! Abang sayang Puteri sebab abang cintakan Puteri. Please jangan cakap macam tu lagi,” pujuk Alif.
“Jangan syak yang abang layan Puteri sebab terpaksa... Sakit hati abang, tahu? Abang memang ikhlas sayang Puteri...” Pegangan tangan dileraikan. Dagu Puteri yang runcing itu diangkatnya. Wajah Puteri yang mendung itu ditatap sepuasnya. Alif tersenyum. Setiap kali memandang mata Puteri yang penuh kasih sayang itu, hatinya bahagia. Itu sudah cukup buat dirinya, tidak perlu terlalu kerap bertemu andai itu belum masanya mereka miliki.
“Abang ‘nanes’ baru tahu,” usiknya memancing senyum di bibir Puteri. Alif tahu hati Puteri mudah disentuh jika dia pandai memujuk.
Puteri sudah tersenyum manja. Lesung pipit di pipinya turut terbit sebaik dia tersenyum.
“Puteri yang nak ‘nanes.’ Kadang-kadang Puteri rasa macam tu. Rasa semua orang sedang bersimpati aje dengan Puteri. Bukan sayang,” keluhnya manja. Bibirnya sengaja dimuncungkan sedikit kedepan.
Huhuhu... simpati tu lain, sayang. Abang ni, sayang Puteri sangat-sangat. Puteri takkan tak boleh nak menilai?” tegur Alif berusaha menyakinkan Puteri.
“Selama ni abang dah tunjukkan kasih sayang abang. Takkan Puteri masih syak bukan-bukan lagi?” Soalnya perlahan. Biarpun hatinya terkilan, dia tetap tidak mahu melukakan perasaan Puteri. Dia sangat-sangat menyayangi Puteri. Dari Malaysia dia sanggup terbang ke Canberra. Tidakkah itu namanya sayang?
“Kalau timbul syak tu. Itu setanlah sayang. Jangan dengar bisikan setan. Kitakan sama-sama tahu, kita sama-sama cinta.” Demi mendamaikan hati kekasihnya yang bercekeramuk. Puteri terus dipujuk seperti anak kecil kerana Alif tahu itu kesukaan Puteri, disayang-sayang hingga melayang.
Puteri memandang Alif dengan perasaan bersalah, terus tubuh lelaki itu dipeluknya. Kenapa hatinya selalu curiga dengan penerimaan Alif selama ini? Bukan ke dari dulu Alif selalu bertegas akan perasaan sayangnya adalah buat seumur hidup. Walau maut memisahkan, sayangnya tetap kekal ke syurga.
Sorry,” bisiknya ke telinga Alif setelah sedar dia terlanjur kata. perasaan bersalah mengisi ruang hatinya pula. Barangkali dia bodoh, sudah punya kekasih yang begitu setia masih juga meragui.
Alif tersenyum sambil rambut Puteri yang panjang itu dielus.
 “Tak apa. Abang tahu Puteri kadang-kadang keliru. Jadi abang harus ingatkan Puteri selalu.” Ujar Alif.
“Sayang...”
“Emm...”
“Abang ikhlas mencintai Puteri... cinta sejujurnya, sayang seikhlasnya. Demi Tuhan yang menjadikan langit dan bumi. Cinta abang pada Puteri sampai ke mati,” ucap Alif perlahan ke telinga Puteri.
Puteri terharu.
Semakin erat pelukan Puteri dirasakan Alif.
‘Tuhan terlalu banyak curahan kasih sayang lelaki ini. Dia anugerah terindah dalam hidup aku,’ adu hati kecil Puteri. 
“Sayang, cinta memang perlukan pengorbanan. Demi kasih sayang abang pada Puteri kalau pun abang terluka, abang rela.” Sambung Alif tidak mahu Puteri mencurigai setiap perasaan kasih dan sayang yang dicurahkan. Setulus hati dia benar-benar cinta dan menyayangi Puteri. Puteri anugerah terindah dalam hidupnya yang hadir sewaktu hatinya kegersangan ditolak cinta lalu. Puteri yang menyemai benih-benih kasih di dalam hatinya, menghidupkan bunga-bunga cinta sehingga hidup yang kosong tiada bererti menjadi begitu bermakna.
“Tak nak! Tak nak! Tak nak! Puteri tak nak abang terluka... Biar Puteri aje yang terluka, tak apa. Puteri sanggup aje korbankan segalanya. Asal abang bahagia selalu.” Puteri menggelengkan kepala beberapa kali. Tidak sanggup hatinya melihat Alif terluka dan kecewa. Dia tidak mahu hati Alif menjadi gersang semula.
Perlahan-lahan Alif meleraikan pelukan mereka. Wajah Puteri ditatap dengan pandangan sedikit serius.
Puteri sedikit pelik melihat perubahan wajah Alif. Dia silap berbicara lagi ke? Renungan Alif yang seperti itu kebiasaannya menegur kesilapan dirinya. Puteri turut memandang Alif dengan wajah sedikit cuak.
“Mana boleh macam tu... bukan segalanya Puteri harus korbankan untuk abang. Mesti ingat tu,” tegur Alif berpesan. Nafasnya ditarik sebelum menghembus semula. Mata Puteri yang redup memandangnya itu, ditatap.
“Bukan segalanya... beberapa perkara Puteri tak boleh korbankan demi abang.” Sambung Alif sedikit tegas.
Dengan wajah lurus dahi Puteri berkerut tidak faham akan maksud Alif.
“Kenapa tak boleh? Puteri sayang abang sangat-sangat,” ujar Puteri sedikit kecewa bila Alif menolak pengorbanan yang ditawarkan.
“Jelaskanlah abang,” desak Puteri manja ketika Alif masih membisu.
Pipi Puteri yang gebu itu disentuh dan diusap. Hati Alif terlalu menyayangi Puteri. Perempuan yang sudah memberi dia semangat untuk menentukan hala tuju hidupnya. Perempuan yang memberi dia dorongan untuk mengubah corak hidupnya. Perempuan yang telah membuat cara berfikirnya menjadi lebih jauh dan luas. Perempuan yang mengikis sifat malu tidak bertempatnya kepada malu yang sepatutnya. Perempuan yang mengajarnya akan erti sebuah kasih sayang, kejujuran dan kesetiaan. Banyak. Terlalu banyak perubahan yang sudah dilalui kerana perempuan itu. Segaris senyuman terukir di bibir Alif. 
Puteri diam membisu, membiarkan saja perlakuan Alif. Setiap kali Alif menyentuh dirinya seakan kasih sayang Alif juga meresap kesegenap ruang jiwanya. Mata Puteri masih memandang wajah tampan itu, menunggu Alif memberi jawapan.
“Ialah, contoh macam dulu... Puteri cakap nak berkorban untuk abang bahagia. Puteri suruh abang cari orang lain. Abang sedih sangat-sangat. Hari-hari Puteri  cakap macam tu, hari-hari abang merana. Puteri suka buat keputusan tak masuk akallah, sayang,” luah Alif. Walau sekian lama perkara itu berlalu namun masih lagi terbuku di hati Alif. Dia langsung tidak bersetuju dengan keputusan Puteri ketika itu. Berkali-kali sudah ditekankan, hatinya yang satu itu hanya untuk Puteri, bukan mana-mana perempuan lain sekali pun. Hanya Puteri belahan jiwanya.
Puteri mencebik, mukanya ditundukkan. Tahu, dia bersalah selalu buat permintaan yang memakan diri.
“Puteri pun sakit hati juga,” akuinya perlahan. Mana mungkin dia boleh tersenyum melihat insan yang sangat disayangi berada dalam pelukkan perempuan lain. Mulutnya saja yang melafazkan rela, hatinya membungkam pedih bagai ditusuk belati tajam.
“Lagi satu, yang Puteri tak boleh korbankan... Agama. Apa saja permintaan abang yang bertentangan dengan agama, Puteri tak boleh turut. Tahu?” ujar Alif tegas. Dia tidak mahu Puteri menjadi bodoh kerana mencintai dirinya.
Puteri tersenyum nakal. Wajah lelaki itu dipandang sekilas. 
“Tengok keadaanlah. Kalau iman Puteri masa tu macam tisu yang dah kena air. Tak boleh nak jaminlah, kan? Puteri ni perempuanlah sayang, selalu tak teguh iman macam lelaki. Abanglah yang selalu kena pimpin Puteri,” ujar Puteri semudah alasannya.
Alif tersenyum melihat riaksi wajah Puteri yang sudah mula kelihatan nakal itu. Comel dan mengoda. Sekejap tadi dia bersedih, sekarang sudah mula tersenyum dan manja. Suka dia dengan sikap Puteri yang sering berubah-ubah itu. Hatinya terhibur. Namun tidak mampu juga mengoda ketegasannya. Memanjakan Puteri selalu tetapi kira kekasihnya itu melakukan kesilapan tetap akan ditegur, tidak menurut.
“Ye... Abang nak kena kuatkan iman selalu dan jadi pemimpin keluarga yang sebetulnya,” janji Alif sambil mencubit manja hidung Puteri.
Puteri tersenyum diperlakukan begitu. Duduknya dirapatkan ke sisi Alif.
“Tapi Puteri memang tak sanggup nak tengok abang kecewa. Macam Puteri cakap, kalau tiba-tiba Puteri hilang akan menyeksa abang lebih baik Puteri mati. Paling tak abang tahu, Puteri dah mati. Jadi taklah nak kesal sangat. Abang boleh teruskan hidup abang dan cari penganti. Puteri pun tak sakit hati bila tahu abang dengan orang lain. Sebab dah mati.” Perlahan saja tutur kata yang dilemparkan tetapi nadanya tetap serius. Kepalanya diletakkan ke atas bahu Alif.
Huhuhu... jangan macam tu, sayang.” Kepala Puteri diusap perlahan. Mata Alif memandang ke tasik. Mungkin ke mereka benar-benar terpisah suatu ketika nanti?
“Kalau Puteri mati abang lagi merana. Hilang arah tuju hidup abang,” bicaranya perlahan. Hatinya tersentak dengan kata-kata Puteri tetapi tetap bersikap selamba.
Puteri membuang pandangan ke bumi. 
“Puteri tak boleh terima kalau abang terluka sebab Puteri. Puteri dah cukup berdosa seret abang dalam dunia Puteri, dalam cinta Puteri... Tak naklah sampai abang kecewa,” beritahunya penuh kesal. Kesal kerana tidak berfikir panjang dulu. Andai saja dia tidak memaksa Alif mempercayai cintanya dulu, pasti sekarang mereka lebih senang sebagai teman tapi mesra. Tetapi soal jodoh siapa pula dia yang hendak menafikan? Puteri termagu.
“Sayang... Itu abang anggap macam pengorbanan cintalah... Berkorban demi harapan yang kita ada. Lagipun Puteri sekarang tanggungjawab abang,” pujuk Alif.
“Hancur semua perasaan Puteri kalau abang yang terluka.” Puteri belum mahu mengalah. Kesayuan hatinya terus-menerus diluahkan.
“Abang tak akan terlukalah sayang, selagi Puteri sayang abang,” sangkal Alif yang selalu berusaha meredakan gelora di hati Puteri.
“Puas Puteri fikir, kenapa Puteri kena lalui semua ni? Kalau tahu nak jadi macam ni. Awal-awal dulu Puteri tak balik Malaysia. Kita pun tak jumpa. Puteri hidup layan life Puteri kat Australia ni aje. Cari boyfriend orang putih dan kahwin,” luah Puteri dengan lengok nada sedikit mengada.
Alif tergelak lucu. Bergegar-gegar kepala Puteri yang terletak di bahunya.
Puteri mengangkat kepala memandang Alif yang masih ketawa. Dia tidak faham apa yang melucukan hati kekasihnya itu.
Tidak mahu menyinggung perasaan Puteri, Alif memberhentikan tawa sebaik Puteri memandangnya dengan pandangan tanda tanya. Dia tersenyum. Suka melihat Puteri yang comel dan manja itu. Cara Puteri berbicara seperti belum matang sangat menarik perhatiannya. Dia suka gaya keanak-anakan Puteri. Manis dan lucu.
“Mungkin semua ni memang perancangan Tuhan. Yang sayangkan Puteri...”
“Tapi penatlah, sayang.” Potong Puteri.
“Kata orang, Kalau Tuhan sayang kita, lagi hebat ujiannya.”
Puteri mencebik.
Urmm... yalah tu,” tidak percaya.
“Ni dah teruk Puteri kena seksa, tahu?” Puteri menjeling manja.
“Ye, abang tahu.”
“Seksa jiwa, seksa semua,” adu Puteri lagi.
“Ye...” Alif tidak menyangkal apa yang disampaikan Puteri. Benar selama ini Puteri sudah cukup terseksa didera ibunya. Setiap kesalahan yang Puteri lakukan pasti akan mendapat hukuman. Ketika ayahnya sibuk menguruskan perniagaan di Malaysia dan Puteri ingkar arahan ibunya, dia akan dikurung tanpa diberi makanan, selama mana ibunya suka. Dia dipukul sesuka hati. Semua itu bermula setelah Puteri lari dari majlis pertunangan bersama lelaki pilihan ibunya sewaktu di Malaysia dulu. Rasa sakit hati dan malu dalam hati ibunya masih berbahang. Kalau boleh ibunya mahu Puteri berada di bawah telunjuknya saja dan menurut setiap arahan bagaikan robot yang sudah diprogram.
Puteri lari ke negara tempat dia dibesarkan itu semula tetapi nasib tidak menyebelahinya, sewaktu tinggal di Brisbane bersama kawan seuniversitinya dulu, dia diserang H1N1. Bertarung nyawa selama tiga minggu dan menjadi lemah, membuatkan dia jatuh kembali ke tangan ibunya dan dibawa tinggal di Canberra semula.
Hubungan Puteri dengan ibunya menjadi semakin parah apabila mengakui, dia lari kerana mencintai lelaki lain dan mereka serius menjalin hubungan cinta itu. Ibunya melenting dan bertambah marah apabila mengetahui status Alif, pemuda biasa yang tidak punya harta. Ibunya langsung tidak setuju. Pelbagai cara dilakukan untuk memutuskan hubungan Puteri dan Alif. Menyekat segala kebebasan Puteri. Dikurung di dalam rumah tanpa belas kasihan tetapi ketika ibunya menjangkakan Puteri dan Alif tidak mungkin berjumpa kerana jarak yang memisahkan. Dia memberi Puteri sedikit kelongaran untuk keluar dari rumah. Bagaimanapun semua perbelanjaan Puteri disekat kerana risau Puteri kembali ke Malaysia dan berkahwin dengan Alif. 
“Nak sentuh kening abang pun susah. Nak laga hidung pun tak dapat jugak,” rajuk Puteri manja. Bibirnya terus dimuncungkan. Tanda tidak puas hati dengan apa yang terpaksa dilalui selama ini.
“Puteri selalu rinduuu abang,” rengeknya pula. Kemudian mengeluh dan membuat muka kesian.
“Kenapa Puteri  tak dilahirkan dalam keluarga jiran abang aje, ye? Senang kita nak kahwin.” Omel Puteri memandang kekasihnya dengan wajah sedih pula.
Alif tersenyum nipis. Lucu mendengar tutur kata Puteri namun tetap bersimpati dengan apa yang sedang dilalui. Pertemuan secara tidak sengaja di Putrajaya dulu membuatkan mereka terus menjadi rapat. Bertukar alamat email mendekatkan mereka terus-menerus sehingga tidak boleh dipisahkan lagi.
“Jadi orang biasa lagi senanglah sayang. Dapat aje nak kahwin dengan orang yang disukai,” tambah Puteri bila Alif tidak menjawab.
“Mungkin sebab Tuhan nak bentuk Puteri jadi pasangan idaman abang yang open minded... Kenalah tinggal dekat negeri ‘organ puteh’,” balas Alif. Dia sangat menghargai Puteri yang selalu berfikiran terbuka, yang pandai menghiburkan hati di setiap kali dia terbeban dengan masalah pekerjaan dan kehidupan.
Puteri tersengeh nakal. Keningnya diangkat sedikit sambil memandang Alif.
“Kalau Puteri jadi jiran abang, abang tak jatuh hati ke?” tanya Puteri dengan riak nakal.
“Kalau jadi jiran... mungkin abang boleh jatuh hati. Tapi tak ada cabaran... Maka, mungkin abang tak hargai hubungan tu sangat,” akui Alif lambat-lambat.
Puteri tergelak kecil. Cukup berani Alif berterus-terang.
“Tak hargailah, ye sayang? Sedih aje.” Matanya dikelip-kelipkan beberapa kali. Kemudian dia mempamerkan senyuman hampa.
“Sayang,” tangan Puteri, Alif gengam erat. “Abang sangat-sangat hargai Puteri, tahu? Abang sayang Puteri sangat-sangat.” Dalam hati Alif terlalu takut kehilangan. Puteri adalah nyawanya, tidak dapat dibayangkan kehidupannya tanpa Puteri. 
“Puteri tahu. Tapi kalau jadi jiran tak dihargai sangat, tu yang sedih. Maknanya, sekejap nanti bila ada orang lain pikat abang, abang pun jatuh cinta lagi,” ujar Puteri sedikit kecewa.
“Abang tak hargai kalau kahwin dengan orang sekampunglah, sayang. Maksud abang, segalanya yang dapat dengan jalan mudah. Macam Puteri dulu-dulu, senang aje dapat apa yang Puteri nak... Baju dah berlonggok dalam almari, nak juga yang lain. Jadi, taklah hargai sangat. Kalau nak dibanding dengan sesuatu yang susah kita nak dapat, kan?” Soal Alif membuat perbandingan.
Puteri terkena pula kali ini. Ada ke patut Alif membandingkan baju dalam almari di rumahnya dengan apa yang mereka bicarakan? Tetapi dia tidak menafikan, sebelum semua keistimewaannya ditarik balik. Dia memang menghabiskan beribu-ribu dolar untuk berbelanja dalam sebulan. Asyik menjadi anak orang kaya yang bermewah-mewahan. Puteri tersengeh sambil menelan air liur. Insaf dengan pembaziran yang sudah dilakukan. Kalau beri makan orang miskin mungkin lebih berfaedah, fikirnya kemudian.
“Abang ni kalau bercakapkan... memang menghiburkan aje... selalu bernas dan susah Puteri nak sangkal. Nak pinjamlah ayat tu masuk dalam novel.” Puteri tersengeh lagi. Kali ini menampakkan sebaris gigi putihnya yang cantik tersusun.
Alif turut tersenyum.
“Sebab abang akan fikir, alah... setakat jiran. Tak susah nak cari. Selangkah aje dari kawasan rumah, dahlah kawasan rumah dia tak ada pagar berlapis-lapis dan guard macam rumah Puteri,” usik Alif lalu ketawa pada hujung kata-katanya.
Membuat Puteri juga ketawa sama.
“Abang memang jiwa kembaralah. Suka yang adveture. Nak pasangan hidup pun yang adventure juga,” bicara Puteri berlandaskan hobi lasak Alif yang suka mendaki dan melancong itu.
Alif ketawa lagi.
“Patutlah lama abang menunggu hadirnya seorang kekasih.” Tambah Puteri dan dia tahu, sebelum hadir dirinya. Tujuh tahun hati Alif gersang kerana cinta yang pergi meninggalkannya.
Hahaha, lama menunggu tu...  sebab tak ada hati,” sangkal Alif.
“Oh... lupa hati abang dah hilang. Lepas tu Puteri datang, gantikan hati baru.” Puteri tergelak mengusik lagi.
“Sayang... Selagi abang cintakan Puteri dan cinta kita kekal mekar. Kita pun dapat sentiasa berhubung macam ni. Selagi tu abang tak akan buka hati abang pada yang lain.” Janji Alif serius.
“Tak tahu macam mana nak ucap terima kasih lagi,” luah Puteri terharu. Hatinya benar-benar bahagia mendengar lafaz janji itu. Alif tidak perlu menyulam kata-kata indah lagi kerana dia adalah milik Alif selamanya. Hati mereka sudah menjadi satu. Jasad mereka boleh dipisahkan tetapi jiwa mereka yang sudah menjadi sebati tiada siapa yang boleh memisahkan lagi. 
“Berterima kasihlah kepada Tuhan.” Suruh Alif kerana itu tempat bersyukur sebaiknya.
“Selalu aje Puteri thanks you pada Tuhan,” balas Aisara. 
“Abang pun. Tapi kan, sayang...” kata-kata Alif terhenti seketika. Dia memandang Puteri.
Puteri mengangkat kening sebagai isyarat supaya Alif menghabiskan kata-katanya.
“Orang terima kasih kepada Tuhan, tak cakap ‘thanks you.’ Tahu? Tapi orang cakap ‘Syukur Alhamdulillah,’” tegur Alif perlahan. Risau sekiranya menyinggung perasaan Puteri.
Puteri mengetap bibir sambil memaniskan muka. 
“Orang putih cakap thanks youlah,” balasnya nakal.
“Sebab dia tak ada perkataan yang tepat untuk itu. Kita ada perkataan yang tepat, gunakanlah,” nasihat Alif.
“Tuhan tahulah sayang, awak guna bahasa apapun,” jawab Puteri berdegil.
“Ye... Tahu...” balas Alif tidak puas hati.
“Tapi dikalangan bangsa kita, kalau dengar awak cakap macam tu, rasa pelik aje.” Terus-menerus dia menasihati.
Puteri tergelak kecil mendengar teguran itu. Wajah serius Alif dipandangnya.
“Pelik, ye? Puterikan dari kayangan... Pastilah lain dari yang lain,” guraunya pula.
Alif tidak tersenyum dengan gurauan itu. Rasa diperlekehkan.
“Yup... rasa janggal bunyinya... ‘Thank you Tuhan.’” Ujarnya semakin tidak puas hati melihat Puteri mengangap tegurannya sebagi gurauan.
“Puteri tak rasa janggal pun.” Puteri mengenyitkan sebelah matanya. Nakal.
Membuatkan hati Alif sedikit geram. Mahu saja dia mencubit manja pipi Puteri.
“Macam anak orang kaya yang duduk oversea bercakaplah pulak,” sindir Alif.
“Memang pun,” balas Puteri selamba. 
“Memanglah. Sebab Puteri tinggal dekat oversea ni. Kita orang Malaysia, kenalah serap budaya sendiri. Supaya tak jadi Alien dekat bumi sendiri.” Tegur Alif dalam gurauan. Mereka berpandangan dan ketawa serentak.
“Ada-ada aje abang kalau bercakap, kan?” Puteri ketawa lagi.
“Lain kali ucap Syukur Alhamdulillah, tahu?” Alif masih belum penat berpesan. Selagi Puteri tidak akur, dia tidak akan puas hati.
“Okey.” Janji Puteri. 
Fikiran yang kusut dan hati yang berduka tadi sudah terhapus dengan pertemuan itu. Puteri bahagia berada di sisi Alif.

No comments:

Post a Comment